KIEV, Ukraine - Sentuhan 'magis' Andres Iniesta ketika membantu
Sepanyol mempertahankan kejuaraan Eropah membolehkan bintang tengah itu
dipilih sebagai Pemain Terbaik Euro 2012 oleh Persatuan Bola Sepak
Eropah (UEFA).Pemain Barcelona berusia 28 tahun itu memainkan peranan besar dalam
membantu Sepanyol melakar kemenangan bersejarah 4-0 ke atas Itali pada
perlawanan akhir, selain mempengaruhi corak serangan skuad La Roja sepanjang kejohanan.
Pemilihan Iniesta dilakukan oleh Jawatankuasa Teknikal yang terdiri
daripada 11 pakar bola sepak dari seluruh Eropah. Ini kali kedua
berturut-turut pemain Sepanyol menerima penghormatan tersebut selepas
Xavi Hernandez dipilih menjadi Pemain Terbaik Euro 2008.
Sementara itu penyerang Sepanyol, Fernando Torres pula diumumkan
sebagai pemenang Kasut Emas penjaring terbanyak, mengetepikan pencabar
terdekat, Mario Gomez dari Jerman.
Kejayaan Torres, 28, menghasilkan satu gol dalam perlawanan akhir
menentang Itali menjadikan dia satu-satunya pemain yang berjaya
menjaringkan gol dalam dua final Euro. Dia berkongsi tiga gol
bersama Gomez dan empat pemain lain, Alan Dzagoev (Rusia), Mario
Mandzukic (Croatia), Mario Balotelli (Itali) dan Cristiano Ronaldo,
namun penyerang Chelsea itu dipilih sebagai pemenang kerana lebih banyak
membantu mencipta gerakan gol.
Bagi Iniesta, biarpun gagal menjaringkan gol dan hanya mencipta satu
gerakan gol dalam perlawanan akhir, namun pemilihannya dibuat
berdasarkan sumbangan keseluruhan pemain tersebut dalam kempen Euro
2012, kata UEFA dalam satu kenyataan. Dia mencipta gerakan untuk gol penting Sepanyol yang disempurnakan
Jesus Navas ketika pasukannya menumpaskan Croatia 1-0 dalam perlawanan
terakhir Kumpulan C. Hantarannya kepada Cesc Fabregas pula membawa
kepada gol pembukaan Sepanyol dalam saingan akhir apabila Fabregas
kemudian melakukan hantaran silang untuk ditanduk David Silva.
Sebelum perlawanan akhir bermula, perancang utama Itali, Andrea Pirlo
disebut-sebut sebagai calon Pemain Terbaik, namun semuanya berubah
apabila skuad Azzurri dikejutkan dengan kekalahan terbesar dalam sejarah perlawanan akhir Euro."Memilih Iniesta memberi mesej jelas mengenai kreativiti, ketajaman
dan sikap rendah diri yang perlu ada dalam pada pemain bola sepak," kata
Pengarah Teknikal UEFA, Andy Roxburgh.
Iniesta, penjaring gol tunggal kemenangan Sepanyol ketika muncul
juara Piala Dunia 2010 merupakan salah satu daripada 10 pemain Sepanyol
yang berada dalam senarai 23 pemain skuad pilihan Eropah. Kapten
England, Steven Gerrard turut tersenarai biarpun pasukannya gagal
melepasi suku akhir.