Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

Wednesday, December 15, 2010

PELALIAN HPV

UNTUK MAKLUMAN SEMUA...


SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. /2010
PELAKSANAAN PROGRAM PELALIAN HUMAN PAPILLOMA VIRUS (HPV) KEBANGSAAN UNTUK MURID PEREMPUAN TINGKATAN 1 DI SEKOLAH KERAJAAN, BANTUAN KERAJAAN, SEKOLAH SWASTA DAN sekolah ANTARABANGSA SELURUH NEGARA

Kementerian Pelajaran Malaysia menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia dalam melaksanakan pencegahan dan kawalan kanser pangkal rahim (Kanser Serviks) yang berlaku dalam kalangan wanita. Kajian masa kini telah membuktikan bahawa jangkitan HUMAN PAPILLOMA VIRUS (HPV), merupakan salah satu faktor penyebab kanser pangkal rahim. Memandangkan kanser ini adalah kanser yang kedua tertinggi dalam kalangan wanita, Jemaah Menteri pada 19 Ogos 2009 telah meluluskan pelaksanaan Program Pelalian HPV Kebangsaan.

2. Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia akan melaksanakan program suntikan pelalian secara percuma kepada murid-murid perempuan Tingkatan 1 di semua sekolah kerajaan, bantuan kerajaan, sekolah swasta dan antarabangsa mulai bulan April/Mei 2010 sebagai langkah awal melindungi murid-murid dari jangkitan virus tersebut. Pelalian HPV akan ditawarkan kepada semua murid perempuan Tingkatan 1 di seluruh negara hanya dengan kebenaran bertulis daripada ibubapa/penjaga murid berkenaan.

3. Bagi memastikan Pelaksanaan Program Pelalian HPV Kebangsaan berjalan lancar, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menggariskan beberapa ketetapan yang perlu dilaksanakan.


3.1 Pelalian HPV diberi dalam 3 dos di mana jadual pelalian adalah seperti berikut:

Dos
Jadual Pelalian
Dos Pertama
0 bulan
Dos Kedua
1 bulan selepas dos pertama
Dos Ketiga
6 bulan selepas dos pertama


3.2 Pasukan pelalian HPV akan datang ke sekolah sebanyak 3 kali dan memberi 3 dos pelalian kepada murid-murid mengikut jadual yang dipersetujui oleh pihak sekolah; dan


3.3 Kerjasama pihak sekolah adalah dipohon untuk menyediakan bilik yang bersesuaian bagi menjalankan perkhidmatan ini dan menggalakkan semua murid hadir ke sekolah semasa hari pelalian.


4. Sila maklumkan kandungan Surat Pekeliling Ikhtisas ini kepada semua pegawai yang bertanggungjawab di Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan Pengetua-Pengetua di bawah pentadbiran Y.Bhg Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan.


Sekian, terima kasih.


Pelalian HPV tiada kesan sampingan berbahaya - Rosnah

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Kesihatan menafikan pelalian virus papilloma manusia (HPV) yang akan diberi percuma kepada remaja perempuan berusia 13 tahun mempunyai kesan sampingan berbahaya termasuk kematian.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, penelitian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) terhadap kesan sampingan suntikan itu di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) mendapati perkara sedemikian tidak pernah berlaku.

Katanya, jika wujud kesan sampingan sekalipun ia hanyalah untuk jangka masa pendek membabitkan simptom ringan seperti pening kepala, muntah ataupun demam sahaja.

"Tiada bukti kukuh kes kematian berikut pelalian vaksin ini, WHO juga telah meneliti kesan sampingannya di Eropah dan AS.

"Bagaimanapun kementerian akan teruskan pemantauan kesan pemberian vaksin ini, kesan sampingan selama ini seperti demam, pening dan muntah adalah biasa apabila membabitkan suntikan vaksin," katanya sewaktu menjawab soalan tambahan Dr. Siti Mariah Mahmud (Pas-Kota Raja) mengenai kesan sampingan suntikan HPV.

Menjawab soalan tambahan Halimah Mohd. Sadique (BN-Tenggara) mengenai rasional pelalian HPV kepada remaja perempuan berusia 13 tahun, Rosnah berkata, ia adalah kerana remaja di bawah 15 tahun memberikan respons imuniti yang lebih baik.

Tegasnya, paras imuniti HPV itu tetap berada pada tahap yang tinggi walaupun selepas lima tahun menerima pelalian.

"Ia menunjukkan pemberian dos tambahan pada masa akan datang tidak diperlukan, lebih-lebih lagi respons imuniti mereka lebih baik berbanding kumpulan umur yang lebih tua.

"Ini menjelaskan bahawa pemberian HPV kepada remaja perempuan berusia 13 tahun boleh memberi kesan pencegahan tinggi dan mengurangkan risiko kanser serviks," katanya.

Terdahulu, sewaktu menjawab soalan asal Halimah, beliau berkata, program pelalian HPV sebagai langkah awal pencegahan barah pangkal rahim itu dijangka akan bermula pada pertengahan tahun ini.

** untung budak2 sekolah skang.. zaman kita dulu2 mane ade benda nie sumer... **

0 comments:

Post a Comment