*** artikerl nie dipetik dari harian METRO untuk dikongsikan  bersama
ALANGKAH beruntung suami yang dikurniakan ‘syurga dunia’ iaitu isteri solehah. Rasulullah bersabda yang bermaksud; “Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh menggembirakan engkau apabila kamu melihatnya, yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dia memelihara maruah dirinya dan harta engkau ketika ketiadaanmu.” (Hadis riwayat Nasa’i, Baihaqi, Ahmad dan al-Hakim).
Bolehkah  kita selidiki apakah tanda atau ciri seorang isteri solehah? Antaranya  ialah mentaati suami dan mengasihinya sepenuh perasaan.
Isteri solehah sentiasa memohon kemaafan suaminya meskipun  melakukan kesalahan. Maka, amalan itu melambangkan mereka berhak digelar  wanita berkeperibadian unggul.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan di  antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri  daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram  kepadanya dan dijadikannya di antara kamu rasa kasih serta sayang.”  (Surah Ar-Rum ayat 21).
Apakah hikmah di sebalik saranan  Rasulullah memberikan panduan dalam memilih jodoh dan calon isteri  solehah? Apabila mempunyai nilai keagamaan, seseorang isteri itu  memiliki akhlak serta menjadi contoh kepada anak.
Suami perlu  banyak bersabar serta saling menasihati isterinya dengan penuh hikmah.  Daripada Aisyah r.a yang menceritakan: ‘Aku bertanya Rasulullah;  “Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan?”. Jawab  Nabi; “Suaminya”. Aku bertanya lagi: “Siapakah yang paling besar haknya  ke atas seorang lelaki?”. Jawab Nabi; “Ibunya”. (Hadis riwayat  al-Hakim).
Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Mana-mana  perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya reda kepadanya,  dia akan masuk syurga”. (Hadis riwayat At-Tirmidzi).
Islam  mewajibkan seorang isteri melayani tuntutan suaminya dengan baik selepas  ikatan ijab dan kabul. Memang benar, bukan mudah mendapat tingkatan  isteri solehah.
Paling utama, wanita itu perlu berusaha mengikis  sebanyak mungkin sifat mazmumah dalam dirinya selain bergantung  pengharapan sepenuhnya kepada Allah Taala.
Tidak kira suami atau  isteri, masing-masing punyai kekurangan diri yang dilengkapi pasangan  masing-masing. Namun, isteri tetap perlu menjalankan ‘tugas’ utama -  menghormati suami dalam apa jua keadaan.
Fuqaha bersepakat mengatakan haram hukumnya seorang isteri yang nusyuz terhadap suami. Mereka dilaknat selagi  tidak bertaubat.
Nusyuz  ditakrifkan sebagai seorang isteri yang tidak melakukan ketaatan  terhadap suaminya. Namun, Islam meletak beberapa panduan jika suami  berdepan dengan masalah isteri nusyuz.
Antaranya, jika berasakan  isterinya ada tanda nusyuz seperti menjawab percakapan suami dengan nada  yang kasar, bermasam muka, disunatkan suami memberi nasihat kepada  isterinya terlebih dahulu.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:  “Nasihatilah wanita secara baik kerana wanita itu diciptakan daripada  tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang  berada di bahagian paling atas. Jika engkau meluruskannya bererti engkau  mematahkannya;  jika engkau membiarkannya dia akan tetap bengkok. Oleh  itu, nasihatilah wanita secara baik.” (Hadis riwayat Al-Bukhari no. 3331  dan Muslim no. 1468).
Justeru, kepada wanita bersegeralah  melakukan perkara yang boleh membahagiakan suami dan rebutlah peluang  sementara masih diberikan waktu ini menuju ke syurga
dengan melaksanakan kewajipan mentaati suami.
Penceramah,  Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata kita boleh mencontohi bagaimana  bapa Imam Malik memiliki zuriat yang hebat kerana pendidikan bermula  kepada isteri.
“Begitulah hebatnya insan bergelar isteri. Nabi  Muhammad sendiri tidak pernah bersedih kecuali selepas isterinya, Siti  Khadijah meninggal dunia.
“Hakikatnya, di sebalik kehebatan  sesebuah keluarga itu datang daripada isteri hebat. Nabi pernah bersabda  yang bermaksud: “Dunia adalah perhiasan dan perhiasan yang baik ialah  isteri yang solehah”,” katanya.
Katanya, apabila mahu berkahwin,  seorang lelaki perlu mencari isteri beragama, baik tingkah lakunya, tahu  membaca al-Quran dan inginkan ilmu pengetahuan.
“Selepas anak  dilahirkan, ibu bapa perlu memberikan nama yang baik kepada anak mereka.  Jangan beri nama yang pelik sehingga sukar untuk disebut.
“Nama  yang disukai Allah seperti Abdul Rahman. Ada nama elo,k tetapi sebutan  tidak sesuai seperti Rokiah dipanggil Rock atau Fatimah menjadi Fatty,”  katanya.
Beliau berkata, memberi nama yang baik terhadap anak itu  satu doa dan selepas anak dilahirkan lakukanlah ibadah akikah dan beri  mereka didikan agama sempurna.      
“Sampai umur tujuh tahun,  jika tidak solat, rotanlah mereka malah sebelum berjimak, pastikan  berdoa kepada Allah terlebih dahulu.
“Pastikan anak dan isteri  sentiasa mencium tangan ketua keluarga selain memberi penghargaan dan  hadiah antara suami isteri,” katanya.
Sementara itu, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood, berkata isteri solehah perlu berusaha menjadi isteri idaman suami.
“Ikut  contoh Siti Khadijah yang sanggup melakukan apa sahaja demi  menyenangkan hati nabi. Beliau sanggup menderma tulangnya untuk agama  apabila meninggal dunia.
“Jika suami hendak tidur atas riba  isteri, jangan pula menolaknya. Belai rambut suami supaya dia rasa lega.  Isteri solehah juga tidak akan keluar rumah tanpa keizinan suaminya.
“Panggillah  suami anda  dengan panggilan paling romantis seperti ‘sayang’  atau ‘darling’ dan kekalkan panggilan itu setiap masa,” katanya.
Katanya,  banyak perkara yang isteri ambil mudah, contohnya suami meminta isteri  garu di belakangnya atau diurut, jangan pula kata tidak boleh kerana ia  boleh menyebabkan suami berkecil hati,” katanya.
Beliau berkata, isteri solehah perlu ada sifat rendah diri serta pandai menyimpan rahsia suami dan rumah tangga mereka.
“Nabi Muhammad  berkata ‘rumahku syurgaku’ walaupun rumah baginda tidak memiliki apa-apa,” katanya.
Katanya, anak yang sudah berkahwin jangan lupa kepada ibu bapa kerana doa mereka menjadi keredaan hidup di dunia dan akhirat.
“Jangan biarkan ibu bapa menangis dan tidur dengan linangan air mata kerana tingkah laku anda,” katanya.
Beliau berkata isteri tidak boleh sesekali menengking suami walaupun niat asal mereka untuk menegur.
“Gunakan bahasa yang lembut serta berdiplomasi.
Untuk  mengubah sikap isteri atau suami, cuba amalkan ayat daripada Surah  Al-Hasyr ayat 21 yang bermaksud: “Jika Kami turunkan al-Quran ini ke  atas gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk dan terbelah kerana  takut kepada Allah. Itulah contoh, Kami berikan untuk manusia,  mudah-mudahan mereka memikirkannya.”
“Doa itu sesuai melembutkan hati anak dengan meniup di ubun-ubun dan bagi suami, tiupkan di tengkuk,” katanya.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 comments:
Post a Comment